Monday 31 October 2016

TUGASAN SYW502: PEMBANGUNAN SAHSIAH UNTUK PENGURUS INSTITUSI
Nurul Ashikin Md Nor
P-ISM0066/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan(Pengurusan Pembangunan Islam)
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Universiti Sains Malaysia

Wahai Insan, Jauhilah Fitnah

Artikel ini ditulis bagi meneliti kepincangan yang berlaku dalam kalangan umat Islam yang dilihat semakin kurang kepercayaan mereka kepada institusi Islam. Baru baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes halal produk Auntie Anne’s. Berikutan daripada kes tersebut, pihak JAKIM menerima banyak tohmahan dan kritikan daripada rakyat Malaysia bukan sahaja yang bukan Islam malah yang beragama Islam juga. Hal ini memperlihatkan bahawa kepercayaan kepada institusi agama Islam mula terhakis dalam diri rakyat. Hanya disebabkan seketul ‘Pretzel Dog’, sebuah badan autoriti agama telah digegarkan.

Punca utama berlakunya perkara seperti berikut ialah tabiat mudah percayai berita yang tidak pasti sahih dan viral dalam media sosial. Kecekapan media sosial kini memudahkan sesuatu isu menjadi besar dan mendapat perhatian semua pihak malah dalam pelbagai peringkat masyarakat. Tabiat mudah percayai berita yang tidak pasti sahih dan viral ini membuatkan fitnah-fitnah mudah tersebar. Hukum fitnah dalam Islam ialah berdosa malah lebih berdosa daripada membunuh, seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Al-Baqarah, 2:217)

Tabiat mudah percayai berita yang tidak pasti sahih dan viral ini perlu dibendung supaya tiada salah faham yang tersebar daripada sesuatu berita. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu berita tersebut dapat memberi imej yang tidak baik kepada sesuatu pihak dan membuat seseorang itu hilang keyakinan terhadap pihak yang terlibat. Kesan buruk fitnah juga menyebabkan kebenaran bagi sesuatu berita itu tidak lagi diyakini dan boleh jadi membawa kepada menolak kebenaran sesuatu berita tersebut. Dalam kes JAKIM, berita yang tersebar telah memberi imej yang tidak baik kepada pihak JAKIM dan masyarakat mula hilang keyakinan kepada kuasa JAKIM.

Tabiat ini perlu dibendung sebelum sebelum memberi kesan yang lebih parah kepada Islam secara umumnya. Kaedah membendung fitnah ini ialah bermula daripada individu sendiri. Setiap berita yang diterima perlulah di siasat terlebih dahulu oleh individu, hal ini seperti dalam firman Allah  SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Al-Hujurat, 49:6)

Individu tidak seharusnya terburu-buru membuat kesimpulan, mengambil keputusan dan menyalahkan sesuatu pihak sebelum membuat siasatan yang mendalam mengenai berita tersebut. Dalam kes JAKIM ini, masyarakat telah mengkritik institusi agama Islam kerana pengesahan dan tindak balas mengambil masa yang lama. Harus masyarakat tahu bahawa badan berautoriti tidak boleh membuat keputusan atas kapasiti sendiri. Setiap isu perlu diperbincangkan terlebih dahulu oleh panel-panal yang mempunyai kepakaran yang berbeza supaya satu keputusan dicapai dapat  menyelesaikan salah faham atau kekeliruan yang berlaku. Setelah satu pakatan dipersetujui barulah keputusan dan pengesahan dikeluarkan.

Kesimpulannya, fitnah memberi banyak kesan yang negatif, bukan sahaja kepada individu malah membawa kepada kesan yang buruk kepada imej Islam. Peranan individu dalam membendung fitnah ini amatlah penting. Oleh sebab itu, setiap individu perlulah mendidik diri supaya tidak mudah percaya kepada berita-berita viral sebelum dilakukan siasatan keatas berita itu terlebih dahulu. Pembangunan insaniah dalam diri individu adalah perlu demi menjadikan individu lebih matang menerima dan bertindak balas kepada berita-berita viral seperti ini.

BIBLIOGRAFI:

Abdul Azhim Al Badawi. (t.t.). Bahayanya penyebar berita palsu (fitnah). Diakses dari: https://fitrahislami.wordpress.com/2011/08/06/bahayanya-penyebar-berita-palsu-fitnah/ pada 31/ Oktober 2016.

Jabatan Agama Islam Malaysia. (2016). Kenapa nama2 yg menjurus kpd sesuatu benda haram perlu diubah utk dapat sijil halal? Diakses dari https://www.facebook.com/MyJakimMalaysia /?fref=ts pada 22 Oktober 2016.

Kanyakumari & Dina Murad. (2016). JAKIM bertemu wakil Auntie Anne's isu halal - Jamil Khir. Diakses dari http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/10/20/jakim-jumpa-wakil-auntie-anne/ pada 23 Oktober 2016.

Nik Roskiman Abdul Samad. (2016). Kesan buruk sebar fitnah dalam media sosial. Diakses dari: http://www.bharian.com.my/node/69549 pada 31 Oktober 2016.

Sa’id Abu Ukasyah. (2015). Makna fitnah dalam al-Quran. Diakses dari: https://muslim.or.id/25955-makna-fitnah-dalam-al-quran-1.html pada 31 Oktober 2016.

No comments:

Post a Comment