Monday 18 April 2016

TUGASAN SYW501: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM

TUGASAN 2 SYW501: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM
Nama: Nurul Ashikin Md Nor
No matrik: P-ISM0066/15

PENGENALAN KEPADA KONSEP PENGURUSAN ILMU BERTERASKAN ISLAM (Islamic Knowledge Management)
Pengenalan
Ilmu adalah sebagai satu konsep yang merujuk kepada keupayaan dalam meneroka dan mengenalpasti sesuatu fakta dan bentuk daripada sesuatu maklumat atau info. Dalam kata lain, ilmu sebagai maklumat mentah kemudian diaplikasi dalam kehidupan terutama semasa  membuat sesuatu keputusan (Goldman, 2006). Teori klasik lazim hanya mengiktiraf dua kategori ilmu iaitu ilmu yang betul dan ilmu yang salah.
Menurut Bapa kepada Pengurusan, Drucker (1992), sumber kekayaan kepada manusia adalah bergantung kepada ilmu pengetahuan. Apabila ilmu diaplikasi dalam sesuatu tugas yang telah diketahui bagaimana untuk laksanakan tugas tersebut, dikenali sebagai produktiviti, manakala apabila ilmu diaplikasi dalam tugas yang baru dan berbeza, dikenali pula sebagai inovasi. Hanya dengan ilmu pengetahuan yang mampu mencapai produktiviti dan inovasi, oleh sebab itu organisasi yang berjaya adalah yang berjaya dalam membina dan berkongsi maklumat dan ilmu yang mana maklumat dan ilmu tersebut boleh membawa kepada pengorganisasian, tingkah laku dan penciptaan strategi yang sistematik.
Pengurusan ilmu secara lazim dan pengurusan ilmu berteraskan Islam adalah berbeza. Pengurusan ilmu secara lazim mempunyai 5 fasa, bermula daripada mengesan ilmu, menyusun ilmu, memindahkan ilmu, berkongsi ilmu dan akhirnya membina rangkaian. Pengurusan ilmu dari perspektif lazim adalah sebagai formula menguruskan maklumat yang hanya merangkumi mengutip, mendokumenkan dan mengagih maklumat.

Konsep Pengurusan Ilmu Berteraskan Islam
Pengurusan ilmu dari perspektif Islam adalah sebagai adab dalam mengabdikan diri kepada Allah Ta’ala (Muhamadul Bakir Yaakub, 2011). Dalam surah al-Baqarah ayat 239 menjelaskan bahawa asal usul ilmu dalam Islam:
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah Ta’ala (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah Ta’ala telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Berdasar ayat berikut, jelas menunjukkan daripada Allah Ta’ala datangnya sesuatu ilmu, dan ilmu penting dalam kehidupan umat Islam seperti hadis Baginda Rasulullah SAW, satu-aatunya harta yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya adalah ilmu. Nilai darjat manusia bergantung kepada nilai ilmunya, tinggi ilmu dalam diri manusia itu maka tinggilah darjatnya di sisi Allah Ta’ala dan Rasul-Nya.
Islam melihat ilmu dari dua perspektif, ilmu yang baik untuk rohani manusia dan ilmu yang baik untuk fizikal manusia. Ilmu yang baik untuk fizikal manusia tidak memastikan rohani manusia itu baik, manakala ilmu yang baik untuk rohani manusia adalah yang terbaik untuk manusia. Ilmu yang baik untuk rohani ialah ilmu yang dapat meningkatkan keyakinan kepada Allah Ta’ala, dan ilmu yang baik untuk fizikal manusia merangkumi ilmu muamalat manusia sesama manusia.
Umat Islam percaya bahawa ilmu datang daripada Allah Ta’ala, kemudian dipindahkan kepada manusia melalui pelbagai cara seperti berita yang benar (al-khabar al-sadiq) ilmu laduni / firasat / kasyaf, pancaindera (al-hawas al-khamsah) dan akal fikiran yang sihat (al `aql al-salim). Manusia sebagai khalifah Allah Ta’ala di atas muka bumi ini dipertanggungjawabkan untuk mencari ilmu dan mengaplikasikan ilmu tersebut demi menjaga dan memakmurkan bumi ini sepertimana yang diperintah oleh Allah Ta’ala. Tujuan mencari ilmu dan mengaplikasi ilmu adalah untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala, matlamat akhir ini adalah penting dalam kehidupan umat Islam.
Pengurusan ilmu berteraskan Islam mempunyai 3 fasa utama bermula asal usul ilmu iaitu daripada Allah Ta’ala, method pengurusan ilmu merangkumi mencari ilmu, memahami ilmu, berkongsi ilmu, mengaplikasi ilmu, dan akhirnya tujuan ilmu adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala.

Kesimpulan
Pengurusan ilmu pengetahuan dalam Islam berkait rapat dengan kepercayaan, ilmu dan iman. Pengurusan ilmu berteraskan Islam lebih holistik di mana fungsi ilmu diambil kira dari sudut rohani dan jasmani manusia. Berbeza dengan pengurusan ilmu secara lazim yang hanya melihat fungsi ilmu dari sudut jasmani manusia semata-mata.

Rujukan

Muhamadul Bakir Yaakub. (2011). Islamic conseptualisation of knowledge management. American Journal of Economics and Business Administration, 3(2). Halaman 363-369. Di akses dari: https://www.researchgate.net/profile/Muhamadul_Bakir/publication/268243164_Islamic_Conceptualisation_of_Knowledge_Management/links/54988bb10cf2eeefc30f9a4d.pdf?origin=publication_list&ev=srch_pub_xdl pada 10 April 2016.