Monday 14 March 2016

TUGASAN SYW501: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM


TUGASAN 1 SYW501: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM
Nama: Nurul Ashikin Md Nor
No matrik: P-ISM0066/15

PENGENALAN KEPADA PENGURUSAN ILMU
Pendahuluan
Pengurusan ilmu dikenalpasti sebagai salah satu sumber yang penting bagi sesuatu organisasi atau institusi berkembang maju. Pengurusan ilmu juga dikenali dengan istilah pengurusan pengetahuan dan pengurusan maklumat.
Definisi pengurusan ialah tindakan yang memerlukan kerjasama sekumpulan manusia bersama-sama demi mencapai sesuatu matlamat. Dalam sesebuah organisasi, pengurusan ditakrifkan sebagai satu sistem yang direka untuk memudahkan manusia bertindak mengikut keperluan mereka. Fungsi pengurusan termasuklah, merancang, menyusun, mengarah atau mengetuai dan mengawal sesuatu organisasi atau sekumpulan manusia bagi mencapai sesuatu matlamat (Boundless Business Textbook, 2015).
Definisi ilmu ialah kebenaran, maklumat dan peraturan-peraturan yang diperlukan dalam setiap diri manusia. Ilmu juga didefinisikan sebagai mengingati perkara yang dipelajari, hal ini mungkin membabitkan proses mengingati maklumat-maklumat dan di hubungkaitkan dengan maklumat yang lain di dalam akal fikiran.
Erti istilah pengurusan ilmu adalah pelbagai, salah satu pengertian yang boleh diguna pakai ialah pengurusan ilmu merupakan satu set pengurusan yang lengkap dan teratur keatas proses mendapatkan ilmu, memberi ilmu dan proses mempraktikkan ilmu.
Dalam ajaran agama Islam juga mengajar bertapa pentingnya menguruskan ilmu. Islam menuntut umatnya untuk mempelajari ilmu, menyebarkan ilmu dan mempraktikkan ilmu yang dimiliki. Ilmu penting dalam hidup manusia, dengan ilmu seseorang itu diangkat darjatnya di sisi Allah Ta’ala. Ilmu yang benar di sisi Allah Ta’ala ialah ilmu yang dapat mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala, bukan sebaliknya. Menuntut ilmu merupakan kewajipan keatas semua umat manusia, tak kira pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Pengurusan ilmu dalam institusi
Penggunaan istilah pengurusan ilmu dalam institusi adalah bermula seawal tahun 1970-an. Hal ini berikutan kesedaran kepada kepentingan ilmu dalam memainkan peranannya meningkatkan produktiviti dalam sesebuah organisasi dan institusi. Pengurusan ilmu dalam institusi perlu dalam meningkatkan inovasi dan produktiviti sesebuah institusi tersebut, mengurangkan rasa bosan terhadap pekerjaan kerana setiap hari dapat mempelajari ilmu yang baru dan mengerakkan mobiliti sesebuah institusi ke arah yang lebih maju.
Pengurusan ilmu termasuklah proses mengenalpasti ilmu, memperoleh ilmu, berkongsi ilmu dan mengekalkan ilmu dalam setiap organisasi dalam institusi. Pengurus sesebuah organisasi dan institusi wajib menyediakan suasana yang mesra ilmu, dimana semua pihak dalam institusi diberi hak mendapat dan berkongsi ilmu.

Kesimpulan
Hasil dari kesedaran bertapa pentingnya ilmu, pengurusan ilmu menjadi entiti penting dalam sesebuah institusi. Kebanyakan institusi kini menitikberatkan kepentingan pengurusan ilmu yang berkualiti bagi meningkatkan kualiti sesebuah organisasi dan institusi.

Bibliografi
Boundless Business Textbook. (2015). “Definition of Management”. Diakses pada 11 Mac 2016 dari: https://www.boundless.com/business/textbooks/boundless-business-textbook/management-8/an-introduction-to-management-59/definition-of-management-283-7212/
Filemon A. Uriarte, Jr. (2008). Introduction to knowledge management. ASEAN Foundation. Jakarta: Indonesia.
Norsyahiza Hamzah. (t.t.). Pengurusan ilmu. Diskusi 8 pagi. Diakses pada 10 mac 2016, dari: http://dspace.unimap.edu.my/dspace/bitstream/123456789/1775/1/Pengurusan% 20ilmu.pdf

Zakaria Abd Hadi. (2005). Pembentukan organisasi berasaskan pengetahuan (knowledge-based organisation) - Satu transformasi perkhidmatan awam. Jurnal Pengurusan Awam, 4(1). Diakses pada 11 Mac 2016 dari: http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/24191/Article__7.PDF